REMAJA perempuan yang hamil lapan bulan diberi rawatan oleh bomba selepas patah kaki kanan dipercayai terjatuh di Sungai Kinta di Tanjung Rambutan, Ipoh. FOTO IHSAN BOMBA
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


SEORANG remaja perempuan yang hamil lapan bulan patah kaki kanan selepas dipercayai terjatuh di Sungai Kinta dari jambatan di Tanjung Rambutan, Ipoh, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam, mangsa berusia 18 tahun terjatuh ke sungai sedalam kira-kira 0.5 meter dan dasarnya berbatu sebelum diselamatkan seorang lelaki dipercayai suaminya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.53 malam sebelum dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh segera dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, mangsa ditemui sudah dibawa ke tebing sungai oleh suaminya dan pihak bomba tidak mengetahui punca sebenar remaja perempuan terjatuh.

“Bomba kemudian bertindak memberi rawatan kecemasan awal sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menaiki jentera EMRS.

“Operasi menyelamat berakhir jam 10.47 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 4:21 PM