Peralatan menghisap dadah dan pemetik api yang dirampas daripada dua pasangan kekasih. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


DUA lelaki dan dua perempuan penagih ‘bom’ (syabu) berusia 17 hingga 27 tahun diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kubang Semang, Bukit Mertajam 1 pagi, Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, masing-masing yang juga pasangan kekasih sedang khayal dadah di sebuah rumah di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika diserbu keempat-empat tidak menyedari kehadiran polis sebaliknya khayal menghisap syabu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui satu plastik lut sinar mengandungi hablur kristal disyaki methamphetamine, satu botol kaca diubahsuai sebagai alat menghisap dadah dan pemetik api.

“Semua suspek diberkas dan dadah itu dirampas,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 3:17 PM