ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat Muhammad Ammin (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 8.8 Jalan Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, awal pagi hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


SEORANG penolong pengurus syarikat maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 8.8 Jalan Kampung Baru Sirusa di Port Dickson, hari ini.

Muhammad Ammin Md Jalil, 23, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD), pada 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 6.20 pagi itu mangsa memandu kereta Proton Satria dari arah Sirusa ke Sua Betung.

“Kereta mangsa dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda Civic dipandu lelaki berusia 33 tahun.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke HPD untuk rawatan manakala pemandu Honda Civic tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidi Sham, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HPD.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 3:05 PM