SEBAHAGIAN Orang Asli Suku Batek, Kuala Koh menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani, bagi membuat pemantauan sebelum dibenarkan pulang ke kampung mereka di Kuala Koh. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


LOKASI baki empat mayat Orang Asli suku Batek Kuala Koh dijangka diketahui hari ini apabila pasukan terbabit dalam Ops Batek mula menjalankan operasi pencarian pagi ini.

Difahamkan, empat mayat itu membabitkan masing-masing dua beradik berusia setahun hingga 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pasukan terbabit mula masuk ke kawasan hutan itu sejak 10 pagi hari ini.

“Kedudukan empat mayat itu agak jauh dan mereka (pasukan) perlu mengambil masa kira-kira lima jam dengan menyusuri Sungai Lebir sebelum sampai ke lokasi mayat itu ditempatkan.

“Maklumat penemuan lokasi mayat itu akan diketahui pada petang ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiga daripada lapan mayat yang ditemui sejak Rabu lalu sudah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Menurutnya, baki lima mayat lagi akan dibawa keluar secara berperingkat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata sehingga semalam, seramai 52 pesakit Orang Asli ditempatkan di hospital di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 48 orang ditempatkan di wad biasa manakala empat lagi dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

“Dalam pada itu, 19 Orang Asli ditempatkan di rumah inap kesihatan Orang Asli (RIKA),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 1:23 PM