MUHAMMAD Firdaus menyiapkan karikatur pelanggan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur menjadi lokasi pilihannya untuk berkarya sejak tiga tahun lalu.

Baginya, berada di tempat terbuka serta tumpuan ramai memberinya lebih banyak ilham untuk menghasilkan pelbagai lakaran karikatur.

Ini kerana, Muhammad Firdaus Husain, 34, tidak pernah berasa malu bergelar seniman jalanan.

Malah dia yang memulakan tugas rutinnya setiap hari pada jam 2.30 petang hingga jam 6.30 petang tidak kekok apabila dikerumuni orang ramai yang tertarik melihat hasil karyanya.

Muhammad Firdaus berkata, aktiviti melukis sudah sebati dalam dirinya kerana dia sudah melakukannya sejak kecil.

“Ia bermula sebagai hobi kerana saya suka melukis imej kartun dan sejak tiga tahun lalu, saya jadikannya kerjaya sepenuh masa.

“Saya tidak pernah mendapat pendidikan melukis secara formal sebaliknya belajar berdasarkan pemerhatian terhadap pelukis lain,” katanya yang berkelulusan Diploma Seni Bina Landskap, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, dia memanfaatkan peluang berada di rumah untuk mempraktikkan ilmu yang ‘dikutip’ daripada pelukis berpengalaman sehingga mahir.


KARIKATUR pelanggan yang sudah siap.

“Hasil latihan berterusan, saya mampu menyiapkan satu lukisan karikatur hitam putih dalam masa 10 minit.

“Hingga kini, jika ada masa terluang, saya akan melukis karikatur kerana kemahiran ini perlu diasah setiap hari,” katanya.

Menurutnya, pen ‘marker’ dan kertas putih bersaiz A3 umpama rakan karibnya yang akan dibawa ke mana-mana termasuk ketika pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.

“Saya rasa ketagih jika tidak dapat melukis setiap hari walaupun sekadar lakaran ringkas.

“Saya gembira dapat melukis kerana ia umpama terapi yang mampu menghilangkan tekanan,” katanya.

Menurutnya, antara kelebihan seniman jalanan ialah pengurusan masa namun tidak terlepas daripada cabaran lain seperti cuaca tidak menentu yang ada kalanya menjejaskan usahanya mencari rezeki.

“Bagaimanapun, saya sentiasa positif dengan cabaran ini dan tidak pernah mengalah dalam meneruskan perjuangan kerana dunia karikatur ini mempunyai peminat yang besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 7:00 AM