SHAMSUL Iskandar. FOTO Arkib NSTP
Fairuz Zaidan dan Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


SEJAK 7 malam tadi, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin masih lagi memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di Melaka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya mengesahkan dipanggil polis, hari ini, berhubung isu penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Shamsul Iskandar, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“Saya masih ditanya lagi (oleh polis). Beri keterangan kepada polis sejak tiba 7 malam tadi,” katanya menerusi kiriman WhatsApp, sebentar tadi.

Sehingga jam 10 malam ini, Shamsul Iskandar difahamkan masih lagi berada di IPK Melaka bagi memberi keterangan kepada polis.

Sementara itu, beberapa media tidak dibenarkan menunggu Shamsul Iskandar di perkarangan IPK, dan diarah untuk beredar.

Terdahulu, beliau yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, lewat petang tadi mengesahkan dipanggil ke IPK Melaka, hari ini, untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

Semalam, Kementerian Industri Utama menggantung tugas Haziq serta-merta dan memberi tempoh tiga hari kepadanya untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Tindakan itu dibuat beberapa jam selepas Haziq mempersoalkan kejujuran kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya itu.

Haziq menjadi tumpuan selepas membuat pengakuan bersumpah mendakwa dirinya individu dalam klip video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berita berkaitan:

  • Haziq ditahan di KLIA
  • Muhammad Hilman pula buat laporan polis
  • Dalang penyebaran video lucah dicari
  • SKMM sedia bantu siasatan - Gobind
  • Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP
  • Hilman nafi tuduhan Haziq
  • Haziq dakwa diugut setiausaha politik Mohamed Azmin
  • Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta
  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 10:46 PM