Gambar Hiasan. FOTO Bernama
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


TIGA mayat Orang Asli Kuala Koh yang ditemui pihak berkuasa Rabu lalu dibawa keluar, hari ini untuk dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

Identiti mayat dipercayai Din Hamdan, 18, Safia Papan, 18, dan Fayah Papan, 19 yang didakwa meninggal dunia antara 20 hingga 22 Mei dibawa keluar dengan menggunakan pacuan empat roda, kira-kira 6 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mayat itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Menurutnya, pasukan pegawai penyiasat dan pakar patologi masuk ke kawasan terbabit pada 1.30 tengah hari.

Katanya, mayat itu adalah tiga daripada lapan mayat yang ditemui pihak berkuasa sejak operasi dijalankan Rabu lalu.

“Apabila pasukan pegawai penyiasat dan patologi masuk kita buka kertas siasatan sebagai mati mengejut.

“Selain itu, pegawai penyiasat turut menemubual dan merekod kenyataan waris yang meninggal dunia.

“Baki lima lagi mayat yang sudah ditemui akan dibawa keluar secara berperingkat sebab pasukan yang masuk perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP), bukan boleh ambil begitu sahaja,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa mengesan 12 kubur Orang Asli dan menemui empat mayat, Rabu lalu.

Satu rangka mayat ditemui bertaburan di atas tanah, manakala tiga lagi mayat ditutup dengan tikar mengkuang di atas pokok setinggi tiga meter.


MOHD Taufik mengesahkan mayat Orang Asli yang dipercayai terkena jangkitan radang paru-paru dibawa keluar dari Kuala Koh. FOTO Syamsi Suhaimi

Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata, mayat Puja Jong, 21, yang dilaporkan meninggal dunia akibat radang paru-paru sudah dibawa keluar pada 1 tengah hari untuk menjalani bedah siasat kali kedua.

“Pasukan membabitkan pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur dan pegawai penyiasat masuk 10 pagi dan keluar 1 tengah hari bersama mayat Poja.

“Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibuat ujian oleh pihak hospital,” katanya.

Ditanya mengenai baki empat lagi mayat Orang Asli yang masih belum ditemui, Mohd Taufik berkata, operasi akan dijalankan esok.

“Saya dimaklumkan lokasi itu jauh dan memerlukan empat hingga lima jam dengan menyusuri sungai.

“Sebab itu kita tidak masuk hari ini kerana kena masuk awal pagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 8:11 PM