AZIMAH (gambar kecil) mengakui pihaknya mengesan kontena berisi sisa pepejal dibawa masuk dari luar negara ke pelabuhan utama negeri lain. FOTO Danial Saad
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


SYARIKAT pengimport sisa pepejal termasuk sampah dikesan mengubah operasi dengan menjadikan pelabuhan utama negeri lain sebagai lokasi 'pendaratan' kontena dari luar negara.

Selain Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang, kini Pelabuhan Kuching di Sarawak antara lokasi dikesan menjadi pilihan selepas tindakan syarikat pengimport menghantar kontena ke pelabuhan utama kini sudah berada dalam 'radar' pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Azimah Abdul Hamid, mengakui pihaknya turut mengesan kontena berisi sisa pepejal dibawa masuk ke negara ini menerusi beberapa pelabuhan lain selain Pelabuhan Klang.

Katanya, keadaan itu berlaku selepas syarikat pengimport yang menyedari pemeriksaan lebih ketat kontena membawa sisa pepejal dari luar negara diketatkan di Pelabuhan Klang selepas isu itu dibangkitkan baru-baru ini.

"Mereka (syarikat) cari peluang (untuk bawa masuk kontena berisi sisa pepejal) ke pelabuhan lain seperti di Sarawak dan Johor tapi keadaan itu masih terkawal walaupun mereka menganggap pemeriksaan tidak begitu ketat namun ternyata silap kerana penguatkuasaan diperketatkan di semua pelabuhan seluruh negara.

"Pemeriksaan lanjut tetap akan dilakukan di mana saja kontena dibawa masuk ke negara ini dan kini pemeriksaan lebih ketat dilaksanakan kerana ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan penipuan pengisytiharan kod tarif yang tidak memerlukan permit import (AP) supaya tidak perlu diperiksa JKDM," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, JKDM sememangnya mempunyai mesin pengimbas canggih bagi melakukan imbasan untuk setiap kontena yang masuk ke negara ini, namun sistem berkenaan tidak mempunyai keupayaan mengesan jenis plastik dibawa masuk sama ada tercemar atau sebaliknya.

Azimah berkata, keadaan itu menyebabkan pegawai dan anggota JKDM terpaksa mengambil masa untuk menjalankan pemeriksaan lanjut khususnya kontena yang mencurigakan kerana perlu dibuka secara manual.

Katanya, cubaan membawa masuk menerusi Pelabuhan Kuantan di Pahang juga tidak dibenarkan selepas JKDM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bekerjasama mengesan kontena berkenaan.

"JKDM bersama JAS dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta agensi kerajaan lain yang terbabit dalam proses ini untuk memastikan tiada sebarang kegiatan termasuk penipuan pengisytiharan kontena berlaku di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 7:09 PM