Kenderaan polis dipercayai membawa mayat Orang Asli dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat semalam. FOTO Zulkifli Zainuddin
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


POLIS sudah mengenal pasti lokasi baki empat mayat terakhir Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia dipercayai jangkitan radang paru-paru.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pasukan mencari mula memasuki kawasan Kuala Koh sejak 10.30 pagi tadi dan berharap maklumat yang diberikan itu adalah tepat.

Katanya, pihaknya perlu menyeberang sungai selama 30 minit untuk ke lokasi mayat berkenaan.

“Baki mayat itu dipercayai berada di seberang di sungai kawasan perkampungan itu.

“Kita perlu seberang sungai selama 30 minit sebelum sampai ke kawasan terbabit.

“Kita berharap penemuan empat lagi mayat dapat menyelesaikan kes berkenaan,” katanya pada sidang media di Gua Musang hari ini.

Menurutnya, hari ini satu mayat iaitu Puja Jong, 21, yang dilaporkan meninggal dunia akibat radang paru-paru akan dibawa keluar untuk jalani proses bedah siasat kali kedua.

“Mayat lain yang sudah ditemui itu akan dibawa keluar secara berperingkat kerana perlu menjalani proses mengikut adat Orang Asli suku Batek,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:57 PM