GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri
cnews@nstp.com.my


AKAUNTAN wanita menjadi mangsa penipuan sehingga syarikatnya kerugian RM240,879.36 selepas dia membuat pembayaran ke akaun lain dalam kejadian di pejabat syarikat swasta di Jalan Lanang, Sibu, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pada 17 Mei lalu, mangsa berusia 37 tahun menerima emel dari sebuah syarikat di Singapura yang memaklumkan belum menerima bayaran untuk pembelian minyak kenderaan daripada syarikat mangsa.

Katanya, mangsa sudah membuat pembayaran AS$57,834.17 (RM240,879.36) 7 Mei lalu melalui akaun bank atas nama Gulf Oil Marine Limited yang berpengkalan di United Kingdom.

“Mangsa kemudian membuat semakan semula emel yang diterimanya 30 April lalu dan mendapati alamat emel yang digunakan berlainan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stanley berkata, mangsa membuat laporan untuk siasatan polis selepas menyedari ditipu.

“Suspek berjaya memperdayakan pengadu dengan menghantar emel yang mengandungi butiran akaun tidak betul sehingga menyebabkan pengadu memindahkan wang ke akaun lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:17 AM