THAQIB sebelum berbuka puasa bersama penduduk Kota Gornji Vakuf.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Jiwa penyayang dimiliki Thaqib Shaker, 28, membuatkan anak muda itu memilih untuk menyertai misi kemanusiaan ke Bosnia Herzegovina walaupun berpeluang pulang ke tanah air.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Universiti Yasar, Izmir, Turki, itu lebih senang melakukan kerja amal walaupun dia boleh menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Saya menyertai Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Sejagat (UNIAID) menjalankan bantuan Ramadan kepada umat Islam di Kota Gornji Vakuf yang terletak di Bosnia Herzegovina.

“Sejak kecil, saya memang cintakan misi bantuan terutama membabitkan kanak-kanak. Saya suka sembang dan berhibur dengan mereka kerana berasa tenang dan jujur,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, penduduk Kota Gornji Vakuf terdiri daripada umat Islam Bosnia dan Katolik Croat.

Katanya, penempatan kedua-duanya dipisahkan oleh satu jalur garis yang dibuat selepas perang tamat sekitar 1997.

“Kehidupan umat Islam di sini agak sukar jika dibandingkan dengan penduduk Croat yang kebanyakannya mempunyai pasport Croatia. Mereka boleh bekerja di Croatia dengan gaji tinggi dan menyara kehidupan di sini. Berbeza dengan umat Islam Bosniak yang hanya mengharapkan bantuan serta sumbangan.

“Antara bantuan diberikan ialah pembelian bahan mentah seperti beras, minyak masak, garam, gula, susu dan tepung. Saya juga sempat menjadi sukarelawan mengajar bahasa Inggeris.

“Alhamdulillah, walaupun kota ini sangat kecil, rakyatnya berjiwa besar. Mereka sangat mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia,” katanya.

Thaqib berkata, dia tidak pernah berasa berat hati atau terkilan tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 7:00 AM