SEBAHAGIAN daripada pelawat yang terkandas.
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Keengganan operator terminal feri Kukup, Pontian, dekat sini, membenarkan feri tambahan dari negara jiran masuk ke terminal itu walaupun sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa menyebabkan seramai 39 rakyat Malaysia terkandas di terminal feri Tanjung Balai, Karimun, Indonesia, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika sekumpulan rakyat Malaysia dan warga Indonesia siap sedia berlepas dari terminal feri Tanjung Balai sebelum diberitahu feri tambahan mereka tidak dibenarkan masuk ke jeti itu.

Difahamkan, keadaan itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu terutama pada musim perayaan hingga menyebabkan campur tangan Wisma Putra dan Kedutaan Indonesia di Malaysia.

Berikutan keengganan operator memberikan kebenaran feri tambahan memasuki jeti itu, semua penumpang termasuk beberapa warga emas dan kanak-kanak terkandas di terminal feri Tanjung Balai kerana tiada feri untuk pulang ke Malaysia.

Difahamkan, kerajaan negeri sedar masalah ini dan berbincang untuk menyelesaikannya namun masih belum mencapai persetujuan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut negeri Johor, Dickson Dollah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kami memberikan kebenaran operator feri menambah bilangan feri sempena musim perayaan berikutan jumlah pengguna bertambah.


PELANCONG dan warga Malaysia terkandas di terminal feri di Tanjung Balai, Karimun (Indonesia) untuk balik ke Malaysia.

“Mengikut laporan awal yang diterima, kejadian berpunca daripada keengganan operator Terminal Feri Kukup, Pontian, membenarkan feri tambahan masuk dari Tanjung Balai, Karimun,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, Jabatan Laut Johor membenarkan slot tambahan feri bagi menampung keperluan orang ramai termasuk rakyat Malaysia yang bercuti di Karimun, Indonesia sempena sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

Terminal feri kukup, Pontian diuruskan syarikat Penaga Timur Sdn Bhd yang memegang konsesi dengan syarikat berkaitan kerajaan GLC milik Kerajaan Negeri Johor.

Sementara itu, jurucakap operator terminal feri Kukup ketika dihubungi menolak dakwaan itu dan berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati tiada warga Malaysia yang terkandas di Karimun, semalam.

Menurutnya, dua hari lalu pengusaha feri dari Indonesia itu memohon tambahan perjalanan feri ke Malaysia dan pihaknya meluluskan tambahan satu perjalanan menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima berbanding empat pada hari biasa.

“Tambahan perjalanan ini diberikan sehingga 21 Jun ini bertujuan memastikan semua pihak boleh pulang ke Malaysia mengikut masa ditetapkan. Biasanya kami akan memberikan tambahan bilangan perjalanan sekiranya menerima permohonan, namun perlu masa untuk meneliti bagi mengelak masalah lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 6:30 AM