MDM menangkap lembu yang berkeliaran di kawasan Marang melalui Operasi Menangkap Haiwan Berkeliaran.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


MARANG: Sebanyak empat lembu dan 10 kambing ditangkap Majlis Daerah Marang (MDM) melalui Operasi Menangkap Ternakan Berkeliaran yang bermula sejak awal bulan ini.

Operasi berkenaan bertujuan menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran di daerah itu, sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai masalah penduduk termasuk kemalangan membabitkan ternakan.

Yang Dipertua MDM, Huzairil Ibrahim berkata, operasi itu dijalan berdasarkan maklumat orang awam bermula sejak awal tahun tetapi diperhebatkan pada awal Jun lalu.

“Setakat ini, empat lembu dan 10 kambing ditangkap di Kampung Bukit Kemas, Kampung Kelulut, Kampung Surau Haji Yaakob dan Kampung Bukit Parit.

“Tiga lembu dan lima kambing sudah dituntut pemiliknya dan setiap seekor ternakan dikenakan kompaun RM250.

“Kompaun yang dikenakan ini diharapkan menjadi pengajaran kepada penternak tidak sewenang-wenangnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga menimbulkan pelbagai masalah,” katanya semalam.

Menurutnya, terlalu banyak masalah timbul berpunca daripada haiwan ternakan antaranya kemalangan, ternakan memusnahkan tanaman penduduk dan masalah najis dan bau busuk di kawasan kediaman penduduk.

“Operasi ini dijalankan secara berterusan dan penternak tidak boleh menyalahkan MDM sekiranya ternakan mereka ditangkap.

“Sepatutnya penternak lebih bertanggungjawab menjaga ternakan masing-masing dengan menternak haiwan itu di dalam kandang,” katanya.

Menurutnya, selain operasi menangkap haiwan ternakan, pihak penguat kuasa MDM juga giat menjalankan operasi menangkap anjing liar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:00 AM