Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Tan Sri Ismee Ismail mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa terdapat keraguan pada status audit akaun SRC International Sdn Bhd.

Bagaiamanpun, beliau tidak memaklumkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ismee berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Menurutnya, beliau enggan memaklumkan kepada Najib kerana mahu menyiasat perkara itu terlebih dahulu dan mendakwa berjaya menyelesaikan masalah akaun itu.

“Selepas mendapati terdapat perkara meragukan pada akaun, saya menghubungi juruaudit, Deloitte Malaysia bagi mendapatkan penjelasan dan mereka memaklumkan bahawa terdapat beberapa pengesahan audit tidak diberikan oleh pengurusan SRC International.

“Ia bukan kerja saya sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRC International; bagaimanapun, atas rasa tanggunjawab saya menangani masalah akaun milik SRC International pada 2013,” katanya.

Menjawab soalan Harvinderjit sama ada Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu, Ismee berkata lelaki itu meminta maaf.

“Saya terbabit dengan penutupan akaun syarikat itu dengan Deloitte. Saya tidak suka dengan apa yang berlaku. Saya perlu menyiasat puncanya. Saya mengambil tanggungjawab untuk menutupnya.

“Saya bertanyakan perkara itu kepada Nik Faisal Ariff dan mereka berkata sibuk dengan perkara lain dan memohon maaf,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 9:55 PM
KUALA LUMPUR 13 JUN 2019. Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC Tan Sri Ismee Ismail hadir pada sambung perbicaraan dengan sesi pemeriksaan utama beliau membabitkan dana SRC International terhadap Bekas Persana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. NSTP/ASWADI ALIAS.