KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Gua Musang memantau kebersihan persekitaran di kawasan zonmerah berhampiran sekatan jalan di FELDA Aring 10. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


JANGAN tuduh-menuduh, membuat andaian atau dijadikan modal politik pihak tertentu sebaliknya menunggu pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci.

Itu nasihat Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) Norya Abas, ketika mengulas mengenai 14 kematian Orang Asli suku Batek dengan dua kematian dilaporkan akibat radang paru-paru di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, sejak 2 Mei hingga 7 Jun lalu.

Beliau berkata, pihak berkuasa kini dalam fasa mengesan kubur mayat orang asli terbabit selain menyiasat punca penyakit itu.

"Justeru, biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Yang penting adalah soal keselamatan dan kesihatan Orang Asli di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bagaimanapun pihaknya menggesa siasatan dilakukan segera bagi mengelak timbul tanda tanya dan tuduh-menuduh sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.

"Kerjasama semua pihak terutama seluruh agensi kerajaan berkaitan penting bagi memastikan masalah ini dapat diatasi," katanya.

Norya berkata, pihaknya juga merancang membuat lawatan ke lokasi berkenaan dalam tempoh terdekat jika dibenarkan.

"Saya dan ahli persatuan sudah bercadang membuat lawatan sebelum ini. Bagaimanapun, kami difahamkan kawasan itu ditutup kepada orang luar untuk sementara waktu," katanya.

Setakat ini, perkampungan berkenaan masih diisytiharkan sebagai zon merah berikutan kematian 14 penduduk akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Sekatan jalan di Aring 10 adalah sebagai kawalan bukan hanya bagi penduduk Orang Asli yang tinggal di kampung berkenaan, tetapi menghalang kemasukan orang awam dan pegawai daripada pelbagai agensi.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:58 PM