Jambatan Angkat (Drawbridge) menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dibuka kepada semua kenderaan pada 13 Jun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


TEMPOH percubaan pembukaan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ akan berakhir Isnin ini dan orang ramai tidak dibenarkan melalui jambatan itu sehingga dibuka semula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, orang ramai masih boleh melalui jambatan mercu tanda baharu Terengganu itu untuk tempoh empat hari lagi sebelum ditutup untuk semua kenderaan.

Beliau berkata, sebaik jambatan ditutup, kerja akhir menyiapkan sepenuhnya jambatan itu akan diteruskan selain kerja penambahbaikan kelemahan elemen infrastruktur dikenal pasti sepanjang jambatan itu dibuka akan dimulakan.

Katanya, selain itu sepanjang tempoh penutupan jambatan angkat, TI Properties Sdn Bhd (TI) yang juga anak syarikat Terengganu Inc, selaku operator operasi jambatan akan melatih pekerja mekanikal dan sivil mengendalikan jambatan berkenaan.

“Selepas ia ditutup nanti, satu peratus lagi kerja akhir seperti pemasangan jubin lantai akan dilaksanakan.

“Selain itu, kita akan melakukan penambahbaikan infrastruktur seperti palang penghadang di lokasi pejalan kaki dan beberapa kelemahan lain yang dikenal pasti.

“TI juga akan melatih pekerja mekanikal dan sivil yang mengendalikan operasi jambatan angkat termasuk mengendalikan pembukaan dan penutupan jambatan untuk laluan kapal,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di negara ini serta Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia disokong dua menara setinggi 15 tingkat di kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:19 PM