RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek memecah masuk premis mangsa. FOTO ihsan pemilik kedai
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


PEMILIK kedai peralatan elektronik dan telekomunikasi kerugian RM50,000 selepas premisnya di Taman Batu Caves, Gombak, dipecah masuk dua penjenayah, Sabtu lalu.

Malah, penjenayah terbabit dikesan merompak premis sama dua kali juga pada hari sama.

Pemilik kedai Abdul Jaleel Sultan Muhamad, 52, berkata kejadian berlaku sekitar 3.30 pagi hingga 9 pagi.

Katanya, dia hanya mengetahui kedai dipecah masuk pada 9.30 pagi selepas dihubungi pekerjanya.

“Sebaik tiba di kedai, saya mendapati barangan seperti telefon pintar, komputer riba, power bank dan pembesar suara hilang.

“Hasil pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dua lelaki menaiki motosikal memecahkan kunci mangga sebelum melarikan barang berharga sekitar 3.30 pagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Abdul Jaleel berkata, semakan CCTV mendapati penjenayah terbabit datang semula ke kedainya sekitar 9 pagi untuk memecah masuk buat kali kedua.

“Kali kedua mereka datang hari sudah cerah dan ada beberapa kedai lain sudah dibuka, namun mereka tetap berani memecah masuk kedai saya tanpa rasa takut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, polis menahan dua suspek lelaki berusia 28 dan 17 tahun, kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah lain.

“Dalam tangkapan itu, polis merampas semula barang dicuri oleh suspek. Suspek sudah dituduh di mahkamah, semalam, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 29(1) KK 1955 kerana melakukan pecah masuk kedai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:56 PM