MUHAMMAD Harraz yang dilaporkan hilang dua hari lalu pulang ke pangkuan keluarga di Kota Bharu dengan selamat. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


PELAJAR Maktab Tentera Diraja (MTD) yang dilaporkan hilang dua hari lalu disahkan selamat apabila pulang ke pangkuan keluarganya di Kota Bharu, semalam.

Muhammad Harraz Hilmi Mohd Syukri, 16, ditemui dalam keadaan sihat dan pulang menaiki bas dari Kuala Lumpur seorang diri.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati remaja itu menaiki bas di Kampung Budi pada Rabu lalu untuk pulang ke Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur selepas habis cuti raya.

Bagaimanapun katanya, Harraz dilaporkan tidak mendaftarkan diri di kem berkenaan menyebabkan ahli keluarga membuat laporan kehilangannya.

“Apabila tiba di Kuala Lumpur, dia menghantar pesanan melalui telefon memaklumkan sudah sampai.

“Tapi sesuatu berlaku di Kuala Lumpur dan remaja terbabit mengambil keputusan kembali semula ke kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Harraz kini berada bersama keluarganya dalam keadaan selamat.

“Saya juga menasihatkannya membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber terdekat mangsa, selepas Harraz tiba di Kuala Lumpur, dia mendakwa disamun menyebabkan telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dilarikan.

Bagaimanapun, kad pengenalan dan beberapa kad bank selamat kerana berada dalam fail menyebabkan remaja itu mengeluarkan baki wang ada untuk membeli tiket pulang semula ke Kota Bharu.

“Kami juga sudah membuat laporan polis berkaitan kes ini di Balai Polis Binjai, hari ini.

“Namun, maklumat lanjut tidak dapat didedahkan memandangkan kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:42 PM