Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


LELAKI bertindak memecahkan barangan di dalam rumah milik ibunya di Taman Selasih, Kulim, semalam, selepas tidak diberi wang.

Dalam kejadian 4.30 petang, suspek berusia 51 tahun dipercayai di bawah pengaruh dadah meminta wang daripada ibunya berusia 81 tahun namun mangsa enggan melayan permintaan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, suspek tiba-tiba mengamuk dan memecahkan barangan di dalam rumah.

Katanya, mujur ketika kejadian kakak mangsa berusia 58 tahun pulang ke rumah dan melihat adiknya mengamuk sebelum menghubungi polis.

“Polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi dan menahan suspek jam 6 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.

“Kakak suspek memberitahu kejadian itu sering berlaku jika adiknya berada dalam keadaan khayal dipercayai mengambil dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku mengamuk kerana tidak diberi wang oleh ibunya.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 16 Jun ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:32 PM