Bayi perempuan yang ditinggalkan ibunya selepas dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Ihsan JKM
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


SELEPAS hampir lima tahun menghilangkan diri akibat melahirkan seorang anak tidak sah taraf, seorang wanita mengulangi perbuatannya itu dengan mengabaikan bayi yang baru dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, 27 April lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, dalam kejadian itu, ibu bayi perempuan terbabit, Kamiliah Mohamed Ali, menghilangkan diri daripada wad HSA selepas sehari melahirkan zuriatnya.

Menurutnya, wanita berusia 30-an itu juga gagal dikesan pihak hospital dan dia didapati hanya meninggalkan nombor telefon ibunya untuk dihubungi dipercayai bagi tujuan membayar bil hospital selain menyerahkan bayinya.

“Jabatan Kerja Sosial HSA kemudiannya merujuk bayi berkenaan kepada JKM pada 2 Mei lalu.

“Mengikut maklumat, bayi berkenaan dilahirkan oleh wanita warga tempatan dan dipercayai anak tidak sah taraf kerana tiada sebarang butiran bapa bayi atau rekod perkahwinan dikemukakan ketika pendaftaran,” katanya.

Menurutnya, nenek kandung bayi berkenaan berusia 50-an ketika dihubungi Pelindung JKM memaklumkan bahawa ibu kandung kanak-kanak itu sudah tiga tahun tidak pulang ke rumah.

Katanya, malah nenek bayi berkenaan juga tiada maklumat berkaitan tempat tinggal anaknya dan turut membuat laporan polis pada 28 April lalu.

Malangnya, nenek bayi berkenaan tidak mampu memberi perlindungan kerana memiliki masalah kesihatan.

“Nenek bayi berkenaan menyatakan ia bukan kali pertama anaknya mengabaikan zuriatnya yang mana sebelum ini pernah mengulangi perbuatan sama.

“Wanita berkenaan memiliki anak tidak sah taraf hasil hubungan dengan teman lelakinya dan kini kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu tinggal bersama bapanya.

“Nenek berkenaan terkilan dengan perbuatan anaknya yang tidak bertanggungjawab serta bergelumang dosa dan memohon JKM memberi perlindungan kepada cucu perempuannya itu,” katanya.

Normawarni berkata, bayi berkenaan dinamakan sebagai Adira Azzahra dan kini berusia sebulan dua minggu.

Menurutnya, kelahiran Adira Azzahra masih belum didaftarkan sehingga kini.

Katanya, Mahkamah Kanak-Kanak mengeluarkan suatu perintah jagaan sementara mengikut Subsekyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membolehkan bayi terbabit ditempatkan di institusi kebajikan buat sementara waktu.

“Kami berharap ibu bayi berkenaan tampil membincangkan masa depannya.

“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu kandung bayi berkenaan boleh menghubungi Pelindung kanak-kanak Johor Bahru, Zalilanor Abd Rashid di talian 07-2232606,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:50 PM