Kerja membuka jambatan besi yang runtuh di Kampung Sungai Buah Dalam oleh JKR bermula hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


PENDUDUK Kampung Sungai Buah Luar dan Sungai Buah Dalam di Dengkil akan mendapat jambatan kekal bagi menggantikan jambatan besi sementara yang runtuh hujung bulan lalu.

Timbalan Nazir Masjid Raudhatul Jannah, Kampung Sungai Buah Dalam, Ibrahim Alowi, 61, berkata, pembinaan jambatan kekal itu turut mendapat persetujuan penduduk dalam memastikan keselamatan mereka.

Menurutnya, jambatan besi sementara itu sebelum ini, adalah yang kedua dibina bagi menggantikan jambatan gantung yang uzur dan rosak sejak kampung itu dibuka 30 tahun lalu.

“Kejadian jambatan runtuh ini kali keempat berlaku dan sebelum ini jambatan gantung lama pernah runtuh dua kali disebabkan arus deras Sungai Semenyih serta dilanggar kapal penggorek pasir.

“Jambatan ini menjadi nadi penghubung kepada lebih 3,000 penduduk di kedua-dua kampung untuk urusan seharian, mengerjakan solat berjemaah di masjid dan menghantar anak ke sekolah agama yang terletak di Kampung Sungai Buah Dalam,” katanya ketika ditemui hari ini.

24 Mei lalu, Harian Metro melaporkan, jambatan besi sementara yang menghubungkan Kampung Sungai Buah Luar, Dengkil runtuh berpunca lori lebih muatan yang melalui jambatan itu.

Difahamkan, jambatan besi yang merentasi Sungai Semenyih itu hanya mampu menampung berat 2.5 tan sedangkan lori yang melalui jambatan itu pula membawa muatan tar lebih 30 tan.

Sementara itu, tinjauan di kawasan itu mendapati, kerja membuka jambatan besi sementara yang runtuh sebelum ini dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang dan JKR Kinta, Perak.

Seramai 19 kakitangan JKR Kinta yang berkemahiran dalam bidang jambatan ‘bailey’ terbabit dalam kerja membuka jambatan runtuh itu dengan dibantu beberapa pekerja kontraktor kren.

Dalam pada itu, jurucakap JKR Daerah Sepang memaklumkan, kerja membuka jambatan itu dijangka siap dalam tempoh lima hari dan akan dibawa ke depoh JKR Kinta kerana ia dipinjamkan sementara bagi menggantikan jambatan gantung kayu lama yang sudah uzur dan reput.

Katanya, kes jambatan runtuh itu masih dalam siasatan dan jika pihak bertanggungjawab melakukan kesalahan akan dirujuk ke mahkamah membabitkan harta kerajaan.

“Kita berharap penduduk bersabar dan aspek keselamatan turut diutamakan seperti meletak penghadang dan memasang lampu isyarat pada waktu malam bagi mengelak kemalangan membabitkan penduduk kampung.

“Untuk jangka panjang, kita sedang mengusahakan peruntukan daripada kerajaan bagi menggantikan jambatan kekal yang dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:42 PM