MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa. FOTO Pix Zaman Huri Isa
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


TINDAKAN lanjut akan diambil Kerajaan negeri sekiranya benar dakwaan wujud perlombongan haram di kawasan penduduk Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Kerajaan negeri hanya pernah mengeluarkan lesen kepada satu syarikat melombong bijih manganese, namun tidak membabitkan air.

Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan akhir jika ada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti tidak bermoral di kawasan itu.

“Ada pihak yang cuba memohon dan (mahu) memanjangkan lesen sedangkan pihak kami hanya pernah mengeluarkan satu lesen saja untuk aktiviti perlombongan yang tidak memudaratkan.

“Sekiranya berlaku aktiviti tidak sewajarnya, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) perlu mengambil tindakan segera.

“Kita bersimpati dengan nasib yang berlaku kepada penduduk Orang Asli di Kuala Koh, dan berharap agar masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya di sidang media dalam Majlis Hari Raya PAS-UMNO di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Yakob berkata, satu kenyataan dikeluarkan bagi melarang orang ramai memasuki perkampungan Orang Asli Batek bagi memudahkan kerja agensi keselamatan dan aktiviti penyelidikan dijalankan.

“Keputusan ini dibuat pada 10 Jun lalu, bersama semua agensi berkaitan dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk risiko jangkitan. Kita putuskan tiada siapa yang dibenarkan memasuki kawasan yang berlaku jangkitan dengan kerjasama pihak polis dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Setiap kenyataan berhubung isu ini juga hanya boleh dikeluarkan oleh petugas keselamatan supaya kita dapat seragamkan tindakan yang akan diambil,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:28 PM