Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


TINDAKAN peguam wanita menjerit dan menyembur air menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa ‘skodeng’ seorang lelaki di tandas stesen minyak di Batu Tiga, Shah Alam, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian 11.15 malam mangsa berusia 34 tahun bertindak demikian

selepas menyedari lelaki terbabit cuba merakam menggunakan telefon bimbit ketika dia membuang air kecil.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengekori wanita itu memasuki tandas berkenaan.

“Suspek yang bersendirian dan memegang telefon bimbit dikatakan cuba merakam mangsa yang

sedang membuang air.

“Menyedari perkara itu, mangsa menjerit lalu menyemburkan air kepada suspek yang kemudian

melarikan diri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan lanjut termasuk pemerhatian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan.

“Selain itu, kita akan mengenal pasti identiti suspek terbabit untuk membantu siasatan,” katanya.

Baharudin berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:25 PM