PASUKAN keselamatan yang bertugas di Kem Kampung Tanduo. FOTO MALAI ROSMAH TUAH
BERNAMA

INDONESIA, Malaysia dan Filipina bersetuju mengadakan latihan rondaan darat bersama bulan depan bagi menangani cabaran keselamatan di perairan antara Kepulauan Borneo dan selatan Filipina, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu, semalam, berkata latihan tiga pihak akan berlangsung di pekan Tarakan terletak di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia dalam usaha ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu menentang kumpulan militan Islam.

Ketiga-tiga negara kini memiliki pusat perintah maritim di pelbagai lokasi di seluruh rantau yang menyediakan perkongsian maklumat dan risikan.

Sejak awal 2017, berpuluh rakyat Indonesia dan Malaysia diculik di Laut Sulu yang terletak di perairan wilayah barat daya Filipina oleh lelaki bersenjata dikaitkan dengan kumpulan pemberontak terkenal dengan keganasannya, Abu Sayyaf.

Selain menculik bagi mendapatkan tebusan, Abu Sayyaf terlibat dalam aktiviti pengeboman, pembunuhan dan peras ugut yang menjadikan ia ancaman keselamatan paling serius kepada Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:22 PM