FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PADAH melakukan onani di hadapan wanita, pekerja kilang warga Bangladesh dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menetapkan keputusan itu selepas tertuduh Biswas Md Riaz, 21, mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Bengali.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh dia ditangkap, 10 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaibkan kehormatan bertujuan mengganggu kesantunan wanita berusia 23 tahun dengan memegang kemaluannya sambil beronani.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan 14/15, Petaling Jaya 9 Mei lalu pada 9.51 malam.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, dia merayu kepada mahkamah supaya hukumannya diringankan memandangkan dia adalah penanggung tunggal keluarganya di Bangladesh.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid kemudian memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan mangsa trauma akibat kejadian itu.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa berada di rumah sebelum lelaki itu tiba-tiba datang lalu membuka seluarnya dan mengeluarkan alat sulitnya.

Tertuduh kemudian memegang kemaluannya sebelum melakukan onani di hadapan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 3:48 PM