PENGARAH JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin (kanan) bersama pegawainya melihat kenderaan klon yang disita pada sidang media sempena penutupan ops HRA 2019 dan Promosi Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Terengganu. FOTO NSTP Rozainah Zakaria
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan mengadakan lelongan awam 47 kenderaan, termasuk 20 kereta mewah yang disita atas pelbagai kesalahan, akhir bulan ini.

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, 47 kenderaan yang akan dilelong itu termasuk 18 motosikal, sembilan pelbagai kenderaan dan 20 kenderaan klon.

Beliau berkata, antara kenderaan paling diminati ramai dan akan dilelong ialah lima Honda Odyssey, Honda Jazz (empat), Honda Stream (tiga), Honda City (satu), Toyota Wish (dua), Subaru Impreza (tiga) dan masing-masing satu Subaru Forester serta Nissan Sentra.

Beliau berkata, sebahagian besar kenderaan yang terbabit dalam lelongan awam itu adalah kereta klon yang dirampas dalam beberapa operasi dilakukan JPJ negeri.

“Orang awam yang berminat membeli kenderaan lelong itu boleh mendapatkan dokumen penjualan lelong di Ibu Pejabat JPJ negeri,” katanya pada sidang media Penutup Operasi Hari Raya, di sini, hari ini.

Ketika mengulas mengenai Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 29 Mei lalu sehingga hari ini, Zulkarnain berkata, sebanyak 7,862 kenderaan diperiksa dan 750 kenderaan dikenakan pelbagai tindakan.

Katanya, jumlah kenderaan yang disita dalam tempoh ops berkenaan diadakan adalah sebanyak 11 buah termasuk tujuh motosikal atas kesalahan tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans perlindungan.

“Tiga kereta jenis Mini Cooper dan Honda Jazz serta satu van pelancong yang disyaki kenderaan klon kerana melakukan kesalahan mempamer nombor pendaftaran dan cukai jalan kenderaan lain serta insurans tamat tempoh turut disita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 3:28 PM