Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan semua barang kemas yang disamun penjenayah di sebuah kedai emas di Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam dianggarkan bernilai RM7 juta.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan pihaknya mendapati berat emas berkenaan dianggarkan 40 kilogram (kg).

“Berikutan itu, jika mengikut harga pasaran ketika ini, semua barang kemas yang dilarikan penjenayah berkenaan dianggarkan RM7 juta.

“Namun, kita masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes itu bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan jenayah itu dilakukan individu profesional.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengumpul bahan bukti,” katanya.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan sekumpulan penjenayah melarikan barang kemas bernilai jutaan ringgit selepas memecah masuk melalui lubang saluran angin di bahagian belakang premis berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku Jumaat lalu iaitu pada hari raya ketiga namun hanya disedari pemilik premis 10 pagi Isnin lalu selepas membuka semula perniagaannya.

Sekurang-kurangnya 10 individu dirakam keterangan oleh polis berhubung kejadian itu antaranya pemilik premis, rakan kongsi perniagaan, pekerja dan pengawal keselamatan.

Berita berkaitan

10 individu dirakam keterangan

Kedai emas 'licin' disamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 3:18 PM