Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


TIGA lagi mayat Orang Asli suku kaum Batek dari Kampung Kuala Koh yang dipercayai terkena jangkitan radang paru-paru baru-baru ini ditemui petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mayat dua lelaki dan seorang perempuan itu dikenal pasti sebagai Safia Papan, 18, (perempuan), Jais Keladi, 55, dan Fayah Papan, 19, ditemui antara 4.30 hingga 5.30 petang semalam.

Katanya, rangka pertama yang ditemui semalam dikenal pasti sebagai Din Hamdan, 18.

“Semua mayat ditemui antara 600 meter sehingga enam kilometer dari kampung terbabit. Jumlah yang sudah ditemui empat mayat.

“Kemungkinan Safia dan Fayah adalah adik beradik kerana kedudukan mayat tidak jauh.

“Setakat ini semua mayat ditemui di atas pelantar yang dibina di atas pokok setinggi tiga meter.

“Kita tidak ketahui keadaan mayat itu kerana ia ditutup dengan tikar mengkuang dan hanya forensik dibenarkan membuat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Hasanuddin berkata, pada hari ini, pasukan forensik akan masuk ke kawasan itu untuk membawa keluar semua mayat terbabit yang akan dibawa ke tempat sepatutnya.

“Kita pun tidak boleh ambil mayat begitu saja, sebab perlu jaga adat suku Batek ini, mungkin ada ritual sendiri sebelum mayat itu dibawa keluar,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya menjangkakan lebih banyak penemuan diperoleh hari ini dengan bantuan ahli keluarga Orang Asli di kampung itu.

“Semua lokasi (mayat) sudah diketahui oleh ahli keluarga cuma yang kita bimbang mereka lupa di mana.

“Kita tidak menggunakan anjing pengesan (K9). Orang suku Batek ini mahir dalam hutan, jadi pengetahuan mereka cukup penting dalam membantu operasi pencarian ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 1:20 PM
    Kenderaan polis menunggu di Felda Aring 10 dipercayai mahu membawa keluar mayat Orang Asli yang ditemui semalam. FOTO Syamsi Suhaimi