Keadaan motosikal mangsa yang terbabit kemalangan menyebabkan penunggang wanita maut manakala anaknya cedera. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


WANITA maut manakala anaknya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta di Simpang 3 Kampung Che Bema, Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi, Azura Abu Kadim, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi berikutan parah di kepala manakala anak perempuannya, Qashiqa Sofea Fadilee, 8, cedera anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda keluar dari simpang Kampung Che Bema ke arah Bandar Laguna Merbok.

“Kejadian berlaku apabila mangsa keluar simpang tanpa berhenti dan terus masuk ke lorong kanan menyebabkan berlaku pelanggaran antara motosikal mangsa dengan Proton Ertiga yang datang dari arah Sungai Layar iaitu laluan utama jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa dan anaknya tercampak ke lorong kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak mangsa cedera rusuk kanan dan kepala.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 11:18 AM