Tertuduh diperintahkan membayar denda RM5,000 selepas mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun tanpa lesen sah. FOTO Zaid Salim
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my


WANITA didenda RM5,000 selepas didapati bersalah memiliki pelbagai jenis mercun tanpa lesen sah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Nozifadiyana Zulkifli, 30, dari Batu Rakit, Kuala Nerus turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Dalam rayuannya sebelum itu, Nozifadiyana merayu mahkamah meringankan hukumannya.

Menurutnya, dia terpaksa meminjam wang bagi membeli mercun itu daripada kenalannya untuk dijual kepada pelanggan.

Katanya, dia juga perlu membantu adiknya yang masih bersekolah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki pelbagai jenis bahan letupan pada 2 pagi di sebuah rumah di Batu Rakit, 30 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:15 PM