Amirah membuat aduan kepada PPIM. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


NIAT anak meminjam ceti haram untuk mengubati penyakit buah pinggang dideritai ibu bertukar mimpi buruk selepas dia menjadi buruan along sejak sebulan lalu.

Bukan itu saja, along terbabit juga turut memuat naik iklan untuk memberi ganjaran RM10,000 kepada sesiapa saja yang boleh mematahkan tangannya kerana gagal melunaskan bayaran seperti sepatutnya.

Keadaan itu menyebabkan Amirah, 32, kini buntu memikirkan nasibnya yang tidak berani keluar rumah kerana bimbang keselamatannya selepas diugut termasuk bahagian badan dikerat.

“Saya berhubung dengan along melalui rakan bulan lalu. Mulanya saya ingin meminjam RM10,000 untuk membiayai perubatan ibu yang menghidap penyakit buah pinggang tetapi saya dimaklumkan ia tidak diluluskan.

“Saya hanya terima RM500 dan perlu membayar semula RM1,200. Disebabkan terlalu sedikit, saya buat pinjaman kedua berjumlah RM1,000 dan dikehendaki membayar RM2,000 dalam tempoh sebulan.

“Kemudian saya dimaklumkan jumlah tuntutan along ke atas pinjaman saya RM20,000. Saya tidak mampu kerana gaji sebagai pembantu jualan hanya RM1,200 sebulan,” katanya ketika membuat aduan kepada Pengarah Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Azman Kang.

Amirah berkata, tidak lama selepas itu, dia menerima mesej berupa iklan tawaran kepada sesiapa yang boleh mematahkan sebelah tangannya akan diberi ganjaran RM10,000 kerana gagal membayar pinjaman.

Katanya, along berkenaan mengugut untuk memuat naik poster berkenaan di Facebook jika dia masih gagal mendapatkan wang untuk melunaskan hutang, menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan PPIM baru-baru ini.

“Saya tak sangka ada tawaran begitu. Saya bimbang saya diapa-apakan dan keluarga sudah tentu susah hati. “Laporan polis sudah dibuat di Jenjarom, Banting kerana khuatir berlaku sesuatu yang buruk kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, PPIM menerima aduan berkenaan dan akan berbincang dengan along terbabit untuk menjadualkan semula pinjaman Amirah.

Katanya, siasatan awal mendapati, along berkenaan berselindung di sebalik lesen pemberi pinjam wang dan tidak mengikut peraturan seperti termaktub dalam akta.

“Nampaknya, along semakin berani mengugut peminjam walaupun mereka sendiri yang melanggar Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Kita juga akan membawa isu ini kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:52 PM