KERETA mangsa yang terbakar. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki tidak sempat menunjukkan kereta baru dibeli kepada keluarganya apabila kenderaan itu terbakar di Kilometer 59, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat hutan lipur Rantau Abang, Marang, hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi, kereta itu dipercayai mengalami kerosakan di bahagian enjin sebelum keempat-empat tayarnya seperti membrek secara tiba-tiba.

Kereta Proton Wira yang dibeli tiga bulan lalu itu kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.

Namun, lelaki berusia 20-an itu bersama dua rakan sebayanya berjaya menyelamatkan diri.

Difahamkan, sebelum kejadian semua mereka yang bekerja dengan sebuah syarikat di Johor dalam perjalanan pulang ke kampung di Tepoh, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Saksi kejadian Mohd Hafizi Khamis, 30, berkata sebaik ternampak insiden itu, dia segera memberhentikan kenderaan sebelum bergegas memberi bantuan.

“Ketika saya tiba, ketiga-tiga mangsa sudah keluar dan saya meminta mereka menjauhi lokasi kejadian kerana bimbang kereta yang terbakar itu boleh meletup.

“Saya cuba memadam kebakaran itu namun tidak berjaya kerana api besar dan kemudian mengambil keputusan menghubungi bomba,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang Pegawai Bomba Kanan II Mohd Salim Mat Seman berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati keseluruhan kereta itu sudah terbakar.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:48 PM