LATIFAH memerhatikan warung kopinya yang musnah akibat dirempuh sebuah kereta Myvi (gambar kecil) yang terbabas di Jalan Kampung Paya Lebar-Lubok Cina, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


GERAK hati pemilik warung kopi untuk keluar daripada premisnya kerana bimbang dirempuh kenderaan terbabas ternyata berjaya menyelamatkannya daripada maut.

Ini berikutan, tidak sampai lima minit selepas Latifah Abu Bakar, 52, keluar daripada warungnya, premis itu musnah dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas.

Latifah berkata, sebelum kejadian pada jam 10.30 pagi semalam, warungnya dipenuhi pelanggan yang menikmati nasi lemak dan roti canai sambil minum teh dibuat suaminya, Norkhairy Endot, 62.

“Selepas warungnya tiada pelanggan, suaminya masuk ke rumah untuk ke tandas manakala saya pula membasuh pinggan mangkuk dan mengemas warung tetapi gerak hati saya berkata, tidak ada pelanggan lebih baik saya tutup kedai manalah tahu ada kereta terbabas langgar warung.

“Selalunya saya tutup jam 12 tengah hari tetapi semalam saya tutup jam 10.15 pagi kerana hati saya tidak sedap. Lima minit selepas masuk ke dalam rumah, saya terdengar dentuman cukup kuat dari arah warung,” katanya ketika ditemui di warungnya di tepi Jalan Kampung Paya Lebar-Lubok Cina, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Ibu kepada empat anak berusia antara 17 hingga 27 tahun itu berkata, sejurus selepas keluar, beliau amat terkejut apabila mendapati bahagian hadapan warungnya musnah dirempuh kereta dan remaja lelaki berusia 22 tahun yang memandu kenderaan itu merangkak keluar dari kereta yang sudah terbalik.

“Alhamdulillah, Tuhan menyelamatkan saya, suami dan pelanggan warung kerana tidak berada dalam gerai ketika kereta itu merempuh warung. Cuba bayangkan jika ketika itu ada ramai pelanggan,” katanya.

Latifah berkata, motosikal Yamaha LC135 suaminya turut rosak akibat rempuhan itu tetapi dia bersyukur apabila pemandu terbabit yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini hanya cedera ringan di tangan kiri.

Katanya, mereka sekeluarga sempat menziarahi penuntut itu di sebuah taman perumahan di Masjid Tanah, semalam, di mana keluarga penuntut itu berjanji membiayai kerja membaik pulih warungnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pemandu terbabit dipercayai mengantuk sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke warung berkenaan yang terletak hanya kira-kira tiga meter dari jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 3:25 PM