Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


WANITA yang juga pekerja sebuah kedai rangkaian produk kecantikan dan kesihatan di Lukut, Port Dickson, ditahan polis selepas disyaki menggelapkan wang RM17,930.

Wanita berusia 26 tahun terbabit ditahan di rumahnya di Lukut semalam, susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh pengurus premis berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa membuat laporan selepas mendapati suspek gagal memasukkan wang berkenaan ke akaun syarikat.

“Perkara itu diketahui apabila bapa suspek menghubungi mangsa Sabtu lalu, bertanyakan sama ada anak perempuannya datang bekerja atau sebaliknya.

“Mangsa memberitahu suspek bercuti dan lelaki itu kemudian memberitahu anaknya mengambil wang syarikat dan berada di Johor.

“Mangsa membuat semakan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis sebelum mendapati suspek mengambil wang itu 4 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, mangsa menghubungi suspek namun gagal menyebabkan dia membuat laporan Ahad lalu.

Katanya, bertindak atas laporan itu polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di rumahnya.

“Suspek mengaku melakukan pecah amanah kerana meminjam wang daripada along.

“Suspek mendakwa along meminta bayaran RM15,000 bagi mendapatkan pinjaman RM30,000,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 15 Jun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 1:51 PM