KAKITANGAN MDL dengan kerjasama beberapa agensi bergotong-royong membersihkan bahu jalan di Kechau, Kuala Lipis.
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir pengguna Jalan Kuala Lipis-Gua Musang membuang sampah di tepi jalan berdekatan Padang Tengku di sini, menimbulkan perasaan kurang senang penduduk setempat.

Penduduk Kampung Pagar Sasak, Shamsuddin Basir, 63, berkata, sikap pengguna jalan raya ketika menyambut Aidilfitri seolah-olah tidak memikirkan perasaan penduduk kampung yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Mereka sungguh biadap apabila membuang sampah daripada tingkap kereta dengan tanggapan ada pihak akan membersihkannya.

“Tindakan itu menyebabkan penduduk sekitar terpaksa menanggung akibat apabila perlu berhadapan bau busuk serta kehadiran haiwan liar seperti anjing dan monyet,” katanya.

Katanya, masalah sama berlaku di kawasan itu apabila tiba musim cuti yang boleh dilihat melalui sampah dilonggok di tepi jalan.

Shamsuddin berkata, rungutan serta aduan penduduk kampung sudah beberapa kali dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa, namun tidak dapat diselesaikan hingga ke hari ini.

Penduduk, Mohd Dasuki Yaakob, 49, berkata, alasan pengguna jalan raya yang terperangkap selama beberapa jam dalam kesesakan lalu lintas tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka membuang sampah sesuka hati.

Sebaliknya, sampah termasuk plastik, botol minuman dan sisa makanan boleh disimpan dan dibuang sebaik tiba ke destinasi.

“Kebanyakan pemandu membawa bekal makanan kerana perjalanan panjang, tetapi sisa makanan dan lampin pakai buang dicampak ke tepi jalan begitu sahaja.

“Sepatutnya sisa makanan itu dibawa bersama dan dibuang dalam tong sampah apabila sampai ke destinasi masing-masing,” katanya yang berharap lebih banyak kawasan rehat dan rawat (R&R) dibangunkan kerajaan di kawasan itu bagi mengatasi masalah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, masalah itu tidak akan selesai selagi masyarakat tidak mengubah sikap dan mempunyai minda kelas pertama tidak kira berapa banyak usaha dilakukan kerajaan dan pihak berkuasa menyediakan kemudahan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) bersama agensi lain yang bertungkus-lumus membersihkan kawasan bahu jalan akibat sampah dibuang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:01 AM