PETUGAS Klinik Kesihatan Aring, Gua Musang Orang Asli suku Batek bagi memastikan mereka tidak dijangkiti sebarang penyakit di perkampungan Kuala Koh. FOTO Syamsi Suhaimi
Wan Faizal Ismayatim

TIGA lagi individu Orang Asli dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak semalam berhubung kes jangkitan saluran pernafasan di perkampungan masyarakat itu di Kuala Koh, Gua Musang.

Tiga individu terbabit kini dirawat di ICU Hospital Kuala Krai, berbanding hanya seorang menerima rawatan di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, secara keseluruhan 99 individu Orang Asli menerima rawatan berkaitan kes berkenaan sehingga 12 tengah hari tadi.

Katanya, 40 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring, manakala 22 dirawat di wad biasa Hospital Gua Musang serta 18 di Hospital Kuala Krai.

“Empat yang dirawat di ICU ialah tiga di Hospital Kuala Krai dan seorang di HRPZ II.

“Pada masa sama, 14 kes dicatatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di perkampungan terbabit menjadikan keseluruhan 99 kes setakat hari ini,” katanya kepada media selepas Sesi Town Hall Menteri Kesihatan Bersama Pengamal Perubatan Swasta di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan sedang menunggu hasil ujian untuk mengenal pasti jenis mikroorganisme yang menyebabkan kematian dua Orang Asli di Kuala Koh.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap dua mayat terbabit juga mengesahkan kematian bukan disebabkan bahan kimia.

Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada sumber air digunakan penduduk Orang Asli di perkampungan itu turut menjadi punca kematian, hanya dapat dipastikan selepas keputusan ujian sampel air yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar diperoleh.

Katanya, mulai hari ini polis sudah mula membuat sekatan untuk mengehadkan kemasukan orang luar ke perkampungan itu dan hanya individu berkaitan dibenarkan masuk.

“Wakil media yang membuat liputan juga perlu lapor kepada Jabatan Kesihatan untuk dipantau keadaan kesihatan mereka selepas keluar (daripada kawasan perkampungan Orang Asli).

“Setakat ini kita masih belum tahu virus atau jenis mikroorganisme yang menjadi punca kepada semua kes ini. Kita menunggu ujian serologi dan

‘polymerase chain reaction (PCR),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:34 PM