KEADAAN Perodua Myvi yang rosak teruk selepas merempuh tiang sebuah kedai. FOTO ihsan polis
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


SEORANG pemuda terselamat selepas Perodua Myvi dipandunya terbalik selepas merempuh tiang sebuah kedai di Jalan Paya Lebar, Lubok China, Alor Gajah, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari Seremban, Negeri Sembilan ke rumahnya di Masjid Tanah.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu Perodua Myvi berkenaan dikatakan mengantuk.

"Dipercayai akibat mengantuk kereta dipandunya merapati sebuah lori yang tidak dikenal pasti di hadapannya.

"Dia yang cuba membrek dan mengelak kemudian hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang sebuah kedai sebelum kenderaan dipandunya terbalik," katanya ketika dihubungi.

Hasan berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan dan luka di tangan kiri serta kanan.

"Dia sudah hadir ke balai polis kira-kira jam 5.55 petang dan membuat laporan mengenai kejadian yang berlaku.

"Saman mengikut Rule 10 LN 166/59 dikeluarkan kepada pemandu Perodua Myvi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 8:35 PM