Cermin hadapan kereta yang dipecahkan lelaki menggunakan topi keledarnya. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@metro.com.my


PADAH bersikap panas baran, lelaki berusia 28 tahun yang berlagak samseng dengan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta ditahan polis dalam Ops Cantas dan Ops Lebaran di Segamat semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian 5 petang semalam, pemandu kereta lelaki berusia 57 tahun menghubungi polis mendakwa cermin hadapan keretanya dipecahkan lelaki di Jalan Sia Her Yam di sini.

“Mangsa yang berseorangan diri ketika kejadian mendakwa memasang lampu isyarat untuk membelok ke kiri sebelum memasuki parkir kereta.

“Pada masa sama, mangsa mendakwa melihat suspek menunggang motosikal di belakangnya melalui cermin pandang belakang sebelum memakir kereta.

“Bagaimanapun, tiba-tiba suspek menggunakan motosikalnya menghalang kereta mangsa memasuki parkir serta menggunakan topi keledar menghentak cermin penumpang hadapan kereta sehingga berlubang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, mangsa tidak berani keluar dari kenderaannya kerana ketakutan selain tiada Kamera Litar Tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian.

Katanya, lokasi kejadian adalah antara laluan utama bandar Segamat dan sikap suspek yang tidak berpuas hati dengan melakukan tindakan agresif dikesali kerana memberi gambaran tidak baik kepada orang awam lain.

“Pengadu turut mendakwa hampir melanggar suspek yang secara tiba-tiba menggunakan motosikalnya menghalang di hadapan kereta ketika itu.

“Pengadu tidak mengalami kecederaan namun sikap panas baran suspek itu mungkin menyebabkan trauma kepada wanita dan kanak-kanak jika berada di tempat kejadian.

Menurutnya, sejurus menerima laporan, sepasukan polis mengesan suspek dan 12 jam kemudian, polis menahan suspek di rumahnya di Jementah 5.30 pagi tadi.

“Pemeriksaan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan diarahkan menjalani saringan ujian air kencing untuk mengesan pengambilan bahan terlarang.

“Kami merampas kunci dan motosikal serta helmet yang digunakan suspek ketika kejadian.

“Suspek yang tiada pekerjaan tetap itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 kerana melakukan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 5:39 PM