Wan Mat (dua kanan) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Muhaizan Yahya
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas 66,600 kotak rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1 juta dipercayai cuba diseludup ke negara ini di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Sungai Bernam, Hutan Melintang, Bagan Datuk, hari ini.

Cubaan sindiket didalangi individu dipercayai warga tempatan dan Indonesia itu digagalkan sepasukan anggota penguat kuasa APMM Kapal Maritim Marlin dan Bot Petir 80 dalam Op Pagar Laut jam 2 pagi.

Bagaimanapun, empat lelaki terbabit sempat melarikan diri dengan terjun ke laut dan gagal dikesan.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot pancung menemui semua rokok berkenaan yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini.

“Dipercayai, sindiket ini didalangi warga tempatan dan asing, kita juga percaya Hutan Melintang dijadikan tempat pemindahan barangan itu sebelum ia diedarkan untuk pasaran di sekitar negeri ini dan Selangor.

“Bagaimanapun, kita masih mengesan dan menjalankan siasatan lanjut bagi membanteras kegiatan ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat APMM Perak di Lumut, hari ini.

Wan Mat berkata, pihaknya turut menyita bot pancung dan tiga enjin dengan keseluruhan rampasan termasuk rokok keretek dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan pemantauan berterusan mengenai kegiatan itu sejak dua bulan lalu dan menghadapi cabaran seperti pembocoran maklumat mengenai kehadiran aset APMM di sempadan perairan negara.

“Rampasan ini adalah tangkapan terbesar dilakukan APMM Perak membabitkan penyeludupan rokok tahun ini hasil risikan, pemantauan berterusan dan gerak atur aset maritim.

“Justeru itu, APMM akan terus mempertingkatkan pemantauan di lokasi disyaki menjadi laluan penyeludupan di kawasan panas seperti Hutan Melintang bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di laut boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05 6838737 atau boleh datang terus ke Pejabat APMM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 5:31 PM