Zaharah Othman
am@hmetro.com.my


BAYI sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor selamat menjalani pembedahan semalam di sebuah hospital di London.

Tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulut Ainul Mardhiah dikeluarkan oleh sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway yang memantau bayi berkenaan sebaik tiba dari Malaysia pada 24 Mei lalu.

Pakar Bedah Plastik Pediatrik dan Craniofacial Juling Ong berkata, pembedahan itu mengambil masa selama lima jam bermula 11 pagi semalam.

“Pembedahan berjalan lancar dan baik seperti dirancang. Ketumbuhan itu juga dapat dikeluarkan seperti dijangka.

“Tidak banyak pendarahan dan Ainul juga dalam keadaan baik dan stabil sepanjang pembedahan dijalankan.

“Ini satu pembedahan yang besar memandangkan ketumbuhannya yang agak serius, ” katanya.

Ong berkata, terdapat komponen kanser dan bukan kanser pada ketumbuhan berkenaan.

“Buat masa ini, kita meletakkannya di Unit Perawatan Intensif untuk keselesaan sementara lukanya sembuh.

“Kemudian, barulah dia dibenarkan dikeluarkan namun kita tetap akan memantau keadaannya untuk beberapa minggu dan bulan bagi memastikan sekiranya ada tanda keadaan sama berulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ong turut meluahkan penghargaan kepada pakar bedah pelatih, Dr Nur Amalina Che Bakri atas inisiatifnya membantu ibu bapa Ainul Mardhiah membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan di London.

“Tanpa beliau (Dr Nur Amalina) , kita tidak tahu mengenai kes berkenaan dan sumbangan daripada rakyat Malaysia juga yang menjadikan Ainul Mardhiah ke sini untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Dr Nur Amalina ketika ditemui berkata, beliau berharap rakyat Malaysia terus mendoakan Ainul Mardhiah supaya sembuh daripada penyakit berkenaan.

“Sebaik melihat berita dan gambarnya, saya rasa amat simpati dan tekad berusaha membawanya ke sini supaya dapat menjalani pembedahan seperti yang dirancang.

“Malah, saya menganggap dia sebahagian daripada keluarga sendiri dan berharap rakyat Malaysia terus mendoakannya supaya segera pulih, ” katanya.

Bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin, 24, bersykur kerana anaknya selamat menjalani pembedahan dengan bantuan pakar di hospital berkenaan.

Ahmad Safiuddin turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang dan terus mendoakan kesihatan anaknya.

“Selepas selesai pembedahan, kami lihat wajahnya comel, sama seperti ketika baru dilahirkan dan ini ibarat kelahiran semulanya.

“Kami bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan berharap dapat bermain dengannya seperti bayi lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 3:51 PM