Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


POLIS memerlukan sedikit masa untuk mengesan 12 kubur Orang Asli suku kaum Batek Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang dikatakan dikebumikan secara adat baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya difahamkan oleh keluarga mangsa, ahli keluarga mereka itu dikebumikan di kawasan hutan yang jauh dari perkampungan mengikut adat.

“Maklumat awal yang kita peroleh, mayat Orang Asli ini dikebumikan di dalam hutan yang jauh daripada penempatan mereka.

“Jadi, usaha mengesan kubur ini akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, polis akan menjalankan operasi mengesan 12 kubur Orang Asli Kampung Kuala Koh yang dikatakan dikebumikan secara adat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, operasi itu membabitkan seramai 30 anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

Operasi mengesan 12 kubur Orang Asli itu dijalankan bagi memudahkan siasatan berkaitan punca sebenar kematian mereka.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pihak Kementerian Kesihatan untuk menjalankan operasi terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 1:05 PM