Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


ANGKA korban akibat kemalangan jalan raya dalam Op Selamat 15/2019 terus meningkat apabila 14 lagi kematian dicatatkan semalam.

Ia menjadikan angka kematian bagi tempoh 13 hari Op Selamat meningkat kepada 221 kematian manakala jumlah kemalangan maut pula 206 kes.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad berkata, sepanjang 13 hari Op Selamat 15/2019 yang bermula 29 Mei lalu, 21,265 kemalangan dicatatkan.

Katanya, Selangor kekal mencatatkan angka korban tertinggi dengan pertambahan lima lagi kematian semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 28 kes.

“Angka kematian di Johor juga bertambah dua kes menjadikan keseluruhan korban di negeri itu mencecah 34 kes.

“Di Perak 23 kematian dicatatkan diikuti Pahang (18), Kedah (17), Sabah (16), Sarawak (15), Kelantan (14), Terengganu (11), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Melaka (6), dan Perlis (4),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmawati berkata, sepanjang tempoh itu juga polis sudah menjalankan 3,849 operasi penguatkuasaan dan mengeluarkan 292,527 saman.

Katanya, selain itu kes pecah masuk premis serta kediaman bagi tempoh sama juga meningkat 658 kes.

“Menerusi statistik yang diterima, 157 kes pecah rumah dilaporkan di Selangor sehingga semalam dan 69 kes di Sabah.

“Di Johor 57 kes dicatatkan diikuti Sarawak (55), Perak (54), Kuala Lumpur (48), Kelantan (39), Pahang (38), Kedah (34), Pulau Pinang (34), Negeri Sembilan (31), Melaka (20), Terengganu (16) dan Perlis (6).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 12:07 PM