Anggota APM Miri memantau keadaan banjir di kawasan Hulu Baram, utara Sarawak. FOTO Kandau Sidi
Kandau Sidi
kandau@nstp.com.my


SITUASI banjir di kawasan penempatan penduduk di Baram, utara Sarawak dalam keadaan terkawal.

Walaupun sebahagian daripada penempatan penduduk dinaiki air 0.5 meter namun belum ada dipindahkan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri, Mohd Hazle Abdul Hamid berkata, 451 penduduk daripada 52 keluarga berdepan dengan masalah banjir di Baram.

“Kawasan terjejas akibat banjir termasuk Rumah Panjang Kijan Sigeh di Long Teru, Rumah Panjang Jipun, Rumah Panjang Vincent, Rumah Panjang Mudang dan Rumah Panjang Ubi (Long Maro),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebanyakan air di semua kawasan penempatan terjejas mulai surut sejak kelmarin kerana tiada hujan.

Bagaimanapun katanya, penduduk yang mendiami kawasan rendah dan kerap dilanda masalah banjir perlu mengambil langkah berwaspada.

Katanya, jika hujan berterusan banjir boleh menjadi serius dan membahayakan orang awam.

“Justeru penduduk yang menetap berdekatan sungai harus mengambil langkah pantas dan bijak untuk pindah ke kawasan selamat tanpa perlu menunggu arahan,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini belum ada kehilangan nyawa akibat banjir dilaporkan di utara Sarawak.

Semua bilik gerakan banjir sudah pun diaktifkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan taburan hujan yang kerap sejak minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 11:49 AM