LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


LELAKI berpakaian seperti ‘lebai’ dan menyembah berhala ‘Datuk Kong’ seperti dalam rakaman video yang tular baru-baru ini, ditahan oleh sepasukan anggota polis, di Bagan Serai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira 5 petang.

Menurutnya, lelaki bukan beragama Islam dan kelihatan berpakaian seperti seorang Muslim dalam klip video yang tular itu berasal dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Parit Buntar.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang tular baru-baru ini.

“Tiada sebarang rampasan dibuat kerana pakaian yang dipakai oleh lelaki berkenaan seperti dalam rakaman video yang tular sudah dibuang oleh individu yang tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, lelaki yang kini ditahan di lokap Balai Polis Bagan Serai itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar, pagi esok, untuk direman.

Berita berkaitan

Video tular 'lebai' disiasat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:17 PM