Mohd Nasaruddin Parzi dan Amir Mamat

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini merasmikan Pusat Industri Pintar (SIC) yang pertama diwujudkan di negara ini.

SIC yang dibangunkan syarikat Konica Minolta Business Technologies (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Bukit Rambai, Melaka berkonsepkan perkongsian peralatan dan data operasi perkilangan bagi mewujudkan `Virtual One Company’ (realiti maya).

Kewujudan pusat berkenaan juga saling menyokong rangkaian dan keperluan industri berkaitan di kawasan terbabit, sejajar dengan konsep yang dipraktikkan di Jepun, sekali gus dapat menyokong lapan lagi industri sokongan termasuk pembuatan dan pembungkusan.

Majlis perasmian itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Menteri, Adly Zahari; Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Untuk rekod, SIC itu adalah model operasi kilang bersepadu yang pertama di Malaysia yang mempunyai lima fungsi utama.

Ia membabitkan perkongsian maklumat bidang tugas bagi tujuan perancangan yang efektif, perkongsian rangkaian maklumat untuk penyaluran data yang tepat dan pantas, menggunakan teknoogi automasi berteknologi tinggi (enam Axis/Scara robot) bagi operasi yang produktif, logistik komponen menggunakan automasi berteknologi tinggi dan menggunakan sokongan teknologi daripada pelanggan yang sama bagi pembangunan produk bersepadu.

Sehingga kini, 12 syarikat beroperasi di SIC iaitu Konica Minolta Business Technologies (M) Sdn Bhd, Guppy Plastic Industries Sdn Bhd, Allied Precision Technologies Sdn Bhd, Kamiguni Global Solutions Malaysia Sdn Bhd, KMC Solution Sdn Bhd, Pacestar Industri Sdn Bhd, Xin Tong Lian Packing (M) Sdn Bhd, Seki Aoi Techno (M) Sdn Bhd, CPI Technologies Sdn Bhd, JP Technologies Sdn Bhd, Triplus Industry Sdn Bhd dan Maxim Mould & Plastic (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengarah Urusan Konica Minolta Business Technologies (M) Sdn Bhd, Hideyuki Yoshida berkata, syarikat itu menggabungkan penggunaan teknologi digital berdasarkan automasi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempunyai pengalaman luas dalam sektor pembuatan yang menggunakan konsep pembuatan digital.

“SIC adalah model baharu pembuatan kluster dengan inovasi terbuka dikenali sebagai V1C, meliputi tiga juta kaki persegi dengan jumlah pelaburan sebanyak RM600 juta. Ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 9:42 PM
DR Mahathir (kiri) melawat gerai pameran pada majlis perasmian SIC di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai. FOTO Khairunisah Lokman