SULTAN Ibrahim berkenan bergambar dengan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor diketuai Sharuddin di Istana Pasir Pelangi. FOTO Royal Press Johor
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima kunjungan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Kunjungan sempena Aidilfitri itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Turut hadir, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Ketua Armada Johor, Norul Haszarul Abu Samah.

Kehadiran mereka dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Johor di mana tetamu turut diraikan dalam satu majlis santapan minum petang bersama Sultan Johor.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenaan menerima kunjungan Pengerusi Mohammad Omar Bin Haider Holding Group dari Dubai, Dr Mohammed Omar Ali Bin Haider di Istana Pasir Pelangi.

Hadir sama, Lembaga Pengarah Mohammad Omar Haider Holding Group, Rashed Mohammed Omar Haider dan delegasi.

Pertemuan bersama Sultan Ibrahim berlangsung selama hampir 30 minit dan baginda berkenan menerima cenderahati daripada Dr Mohammed Omar Ali serta bergambar kenangan bersama delegasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 7:09 PM