MAYAT mangsa yang maut disyaki disambar buaya di sungai berhampiran Ladang Tabin Hap Seng, Lahad Datu. FOTO IHSAN JBPM SABAH
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


MAYAT pekerja ladang disyaki disambar buaya ditemui di sungai berhampiran Ladang Tabin Hap Seng, Lahad Datu, hari ini.

Mangsa, Rudy Gessa, 44, ditemui terapung di tebing sungai jam 12.25 tengah hari oleh sepasukan anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat warga Indonesia itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Sebaik ditemui, mayat mangsa dibawa ke darat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR dihentikan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, semalam, mangsa keluar memancing di sungai berkenaan.

Mangsa kemudian dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya dan selepas lebih 20 jam hilang, akhirnya mayatnya berjaya ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:23 PM