NAJIB ketika hadir di mahkamah. FOTO MUhd Zaaba Zakeria
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) selepas tidak bersetuju dengan cara pengurusan syarikat itu.

Saksi ke-39, Ismee, 54, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dengan tujuh pertuduhan berhubung dana SRC International.

Ismee berkata, peletakan jawatannya dalam SRC International dikemukakan pada 16 Mei 2014 dan beliau meletakkan jawatan secara rasmi pada 15 Ogos 2014.

“Dalam tempoh bulan Mei sehingga bulan Ogos itu saya tidak lagi aktif membabitkan diri dalam pengurusan SRC. Saya meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan pengurusan syarikat yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil terutamanya berhubung akaun dan kewangan syarikat.

“Kebanyakan tindakan berkaitan SRC dilakukan oleh Nik Faisal. Beliau (Nik Faisal) akan membentangkan sebarang kertas kerja kepada Lembaga Pengarah untuk diputuskan dan diambil tindakan susulan bagi setiap projek yang ingin dilaksanakan oleh SRC,” katanya.

Menurut Ismee, bagi SRC International, sebarang keputusan Lembaga Pengarah perlu mendapat nasihat daripada Penasihat Emeritus SRC iaitu Najib.

“Jika terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian Najib, tindakan itu akan dilakukan oleh Nik Faisal sahaja. Ia adakah kerana beliau akan bertindak sebagai penghubung antara Lembaga Pengarah SRC International dengan Najib.

“Tindakan melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC International akan dibuat Nik Faisal sahaja kepada Najib,” katanya.

Tambah Ismee, beliau pernah menimbulkan persoalan berhubung urusan kerja harian SRC International.

“Nik Faisal selalu akan membalas dengan menyatakan perkara itu sudah dibincangkan dan dipersetujui oleh ‘Kerajaan’. Pada pendapat saya, ‘Kerajaan’ yang dikatakan oleh Nik Faisal adalah merujuk kepada Najib.

“Sebagai seorang Pengarah SRC, saya maklum bahawa keputusan atau tindakan serta perkara berbangkit akan dibawa oleh Nik Faisal untuk dibincangkan dan dipersetujui Najib. Saya juga sedia tahu bahawa Najib yang melantik dan mempunyai kuasa untuk memecat saya. Najib mempunyai kuasa mutlak untuk melantik dan memecat mana-mana ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

Terdahulu Ismee dalam keterangannya berkata, selain dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (LTH) beliau dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB sejak tahun 2009.

“Lantikan dibuat oleh Najib ketika itu. 1MDB mempunyai beberapa anak syarikat termasuk SRC International yang ditubuhkan pada 7 Januari 2011. Saya dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah SRC International atas kapasiti sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

“Saya dilantik bersama empat yang lain iaitu Nik Faisal, Datuk Suboh Yassin, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:17 PM