DR Dzulkefly bersama Waytha Moorthy dan Dr Zaini (kiri) pada sidang media di Hospital Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan sedia melakukan bedah siasat ke atas 12 mayat penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang dikebumi secara adat.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu terpulang kepada polis untuk mengesan mayat yang dipercayai dikebumikan dalam hutan.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dan cuba mengesan lokasi kubur 12 Orang Asli namun gagal.

“Apabila kita tanya kepada keluarga Orang Asli di kampung itu mengenai di mana kubur 12 orang yang sudah meninggal dunia, mereka menjawab tidak tahu.

“Jadi, ia menyukarkan kita untuk menyiasat dan mengenalpasti punca sebenar mereka meninggal dunia,” katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat berhubung keadaan Orang Asli terbabit di Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menasihatkan supaya lawatan dan pergerakan orang ramai ke Kuala Koh, Gua Musang dihadkan bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.

Beliau berkata, ini kerana, penyakit yang menyerang penduduk Orang Asli mudah berjangkit melalui pernafasan, namun pihaknya belum menerima sebarang keputusan kajian berhubung penyakit itu.

“Setakat ini, seramai 50 penduduk Orang Asli dari kampung itu menerima rawatan di tiga hospital di Kelantan membabitkan seramai 37 dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), 12 di Hospital Kuala Krai (HKK) dan seorang di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

“Kita memberi jaminan akan memberi rawatan terbaik kepada penduduk Orang Asli berkenaan dan mereka semuanya dalam keadaan stabil.

“Saya akan umumkan pengesahan penyakit itu nanti sebaik menerima hasil kajian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 3:52 PM