Zaid Salim
am@hmetro.com.my


AKIBAT dendam, buruh cedera di perut selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dikenali sebagai Pian dalam kejadian di Kampung Gerong Apal, Jerteh.

Kejadian 7 malam, Jumaat lalu berlaku ketika mangsa berusia 30 tahun sedang berada di kawasan sawah padi di kampung berkenaan sebelum didatangi suspek yang memegang sebilah parang.

Sebaik menghampiri mangsa, suspek dikatakan tidak bercakap banyak sebaliknya memberitahu mahu menetak mangsa sebelum melibas lelaki terbabit menyebabkan kecederaan pada perut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, selepas melibas mangsa, suspek kemudian melarikan diri dan mangsa dalam keadaan berlumuran darah terus ke Balai Polis Jerteh bagi membuat laporan.

“Kedua-dua mereka yang saling mengenali dikatakan sudah lama bermusuh dan suspek juga dikatakan berdendam dengan mangsa.

“Ketika kejadian suspek yang juga dipercayai penagih pil kuda, dalam keadaan khayal,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan kecederaan terhadap orang lain.

Katanya, amukan suspek tidak berakhir di situ apabila pihaknya menerima satu lagi laporan keganasan dipercayai dilakukan suspek terbabit.

Beliau berkata, seorang lelaki mendakwa cermin pintu kanan kereta Mitsubishi miliknya yang diletakkan di halaman rumah pecah di kampung sama, jam 11 malam hari sama.

Mangsa berusia 28 tahun dan bekerja sebagai kontraktor binaan mendakwa perbuatan itu dilakukan suspek.

Dia kemudian membuat laporan di balai polis sama.

Mohd Zamri berkata, susulan laporan mangsa kedua, polis kemudian bersama penduduk kampung mengepung kediaman suspek di kampung sama sebelum berjaya menahannya.

“Kes kedua disiasat mengikut Seksyen 427 KK kerana khianat dan suspek direman untuk siasatan lanjut selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 7:19 PM